Kapal Persiaran Berlepas Dari China Dilarang Masuk Malaysia

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan semua kapal persiaran yang berlepas dari China untuk memasuki negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, berkata selain itu baki penumpang kapal persiaran Westerdam yang kini berada di Kemboja juga tidak dibenarkan memasuki Malaysia selepas mengambil kira penumpang berkenaan adalah kontak rapat dengan kes yang disahkan positif sebelum ini.

Katanya, bagi enam daripada 143 penumpang Westerdam yang melepasi saringan, mereka akan menjalani ujian pengesanan COVID-19.

Seramai 137 penumpang lain yang melepasi saringan sudah meneruskan perjalanan. Kesemua mereka tiba di negara ini dengan penerbangan sewa khas Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines).

 

“Sekiranya ujian berkenaan negatif, mereka dibenarkan meneruskan perjalanan, bagaimanapun sekiranya didapati positif penumpang terbabit akan dibawa ke hospital untuk pemantauan kesihatan selanjutnya,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas berhubung COVID- 19, di Kementerian Kesihatan, di sini hari ini.

 

Hadir sama dalam mesyuarat berkenaan ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Ketua Pengarah Kesihatan; Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah NADMA; Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

 

Dr Wan Azizah berkata, keputusan untuk tidak membenarkan kapal persiaran dari atau transit di China memasuki negara ini dibuat selepas perjumpaanya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang diadakan pagi tadi.

 

Difahamkan, pertemuan berkenaan turut disertai Dr Dzulkefly bersama dengan beberapa ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan serta agensi yang terbabit dalam isu penularan COVID-19.

 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata, selepas mengesan terdapat satu kes positif yang membabitkan penumpang kapal persiaran berkenaan, aktiviti pengesanan kontak rapat sudah dilaksanakan serta merta.

 

“Aktiviti berkenaan membabitkan komunikasi di peringkat Institut Kesihatan dan Pemulihan (IHR) Focal Point Malaysia dengan National IHR Focal Points negara masing-masing.

 

“Menerusi komunikasi berkenaan, maklumat ringkas mengenai setiap penumpang terbabit akan disalurkan kepada National IHR Focal Points masing-masing. Maklumat berkenaan akan digunakan oleh pihak Kementerian Kesihatan negara berkenaan untuk menjejaki penumpang itu sebaik sahaja mereka tiba di destinasi.

 

“Tidak terkecuali, komunikasi dengan National IHR Focal Point Kemboja turut dilaksanakan, yang secara tidak langsung membolehkan tindakan kawalan dan pencegahan yang berkesan dapat dilaksanakan di peringkat negara mereka iaitu destinasi di mana kapal persiaran berkenaan berlabuh,” katanya.

 

Tambahnya, kerajaan akan memperkukuhkan aktiviti kesiapsiagaan dan respon bagi menghadapi penularan COVID-19 di negara ini dan terus memantau perkembangan jangkitan itu melalui maklumat yang diperoleh daripada pelbagai pihak yang terbabit.

 

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan terkini mengenainya. Kementerian Kesihatan juga akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kapal persiaran Westerdam itu berlabuh di Hong Kong sehari sebelum memulakan perjalanan selama 14 hari bermula 1 Februari lalu.

 

Kapal persiaran berkenaan tidak dibenarkan berlabuh di beberapa negara sebelum menerima kebenaran untuk berlabuh di Sihanoukville, Kemboja pada Khamis lalu.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di Page @Mstarkini

PERHATIAN: Pihak Mstarkini tidak akan bertanggungjawap langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Mstarkini juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawap anda sendiri.

 

SUMBER

Be the first to comment on "Kapal Persiaran Berlepas Dari China Dilarang Masuk Malaysia"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*