“Tiada rumah terbuka, ziarah raya rentas negeri tetap tak boleh..” – Selepas Umum PKPB Disambung 4 Minggu, PM Seloroh Jangan Selalu Mainkan Lagu ‘Dendang Perantau’

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma kurang daripada tempoh dua minggu lagi pasti menimbulkan rasa sayu apatah lagi pergerakan antara negeri masih dilarang sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Memahami gelojak hati rakyat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu terpaksa dilaksanakan demi menjaga keselamaan dan kesihatan rakyat di negara ini.

Secara berseloroh, beliau menyarankan agar stesen televisyen dan radio tempatan memutarkan lagu-lagu raya yang ceria agar sedikit sebanyak dapat meredakan rasa sedih mereka yang tidak dapat pulang ke kampung.

“Saya tahu ramai yang sedih tak dapat balik berhari raya di kampung bersama keluarga. Bersabarlah. Bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara.

“Stesen-stesen TV dan Radio bolehlah mainkan lagu Dendang Perantau sekali-sekala. Kalau dimainkan selalu saya pun berasa sayu juga. Mainkanlah lagu-lagu Hari Raya yang boleh menceriakan suasana. Saya tengok dalam YouTube ada lagu ‘Jange Kelik La Weii’. Lagu ni pun OK lah,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas pada Ahad.

Terdahulu, beliau mengumumkan bahawa kerajaan memutvskan untuk melanjutkan tempoh PKPB bagi jangka masa selama empat minggu lagi iaitu sehingga 9 Jun depan.

Menjelaskan mengenai pelanjutan tersebut, Muhyiddin berkata keputusan itu dilakukan kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ini bermakna semua peraturan dan SOP yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuatkuasa sehingga 9 Jun 2020. Sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Tambah Muhyiddin, sebagaiman peraturan dan SOP yang telah diwartakan di dalam PKPB sebelum ini, pergerakan rentas negeri untuk menyambut perayaan tetap tidak dibenarkan dalam tempoh pelaksanaan perintah tersebut.

“Tetapi ini tak bermakna kita tak boleh menyambut perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan atau Hari Gawai. Ziarah-menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa. Jadi tak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan agar setiap keluarga diminta mematuhi SOP kesihatan seperti penjarakan sosial, pemakaian penutup mulut dan hidung, dan amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan hand sanitizer sepanjang sambutan perayaan berkenaan.

“Pastikan rumah sentiasa bersih. Basuh pinggan mangkuk, sudu garpu, periuk belanga dan lain-lain selepas digunakan untuk menjamu tetamu yang hadir.

“Kementerian Kesihatan juga menyarankan agar saudara-saudari elakkan daripada berada di tempat yang sesak atau tempat yang tertutup. Kalau nak bersembang dengan tetamu pun, jarak-jarakkan sedikit. Tidak perlulah duduk terlalu rapat,” ujarnya lagi.

Sambutan Aidilfitri dijangka pada tanggal 24 Mei, manakala Pesta Kemaatan pada 30 Mei dan Hari Gawai bakal disambut pada tanggal 1 Jun depan.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di Page @Mstarkini

Sumber: mstar

PERHATIAN: Pihak Mstarkini tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Mstarkini juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

 

Be the first to comment on "“Tiada rumah terbuka, ziarah raya rentas negeri tetap tak boleh..” – Selepas Umum PKPB Disambung 4 Minggu, PM Seloroh Jangan Selalu Mainkan Lagu ‘Dendang Perantau’"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*